Pengeluar, pemborong, peruncit dibenar simpan 30 peratus stok

Rosol - Foto Bernama
Rosol - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengeluar, pemborong dan peruncit terpilih daerah dibenarkan menyimpan stok tambahan sebanyak 30 peratus daripada had simpanan lesen sebagai persediaan menghadapi bencana serta kecemasan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif itu adalah bagi memastikan bekalan barangan keperluan harian serta makanan mencukupi ketika negara berdepan bencana banjir yang dijangka lebih sukar kali ini.

"Pemantauan rapi di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negara dilakukan untuk memastikan kecukupan bekalan dan memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku gangguan bekalan. Ini adalah persiapan awal supaya ketika berlaku bencana, rakyat tidak terkesan untuk dapatkan barangan keperluan.

"Kita bukan sahaja pantau barang kawalan tetapi juga barangan yang mendapat permintaan tinggi ketika banjir seperti mi segera, lampu, ubat-ubatan, lampin pakai buang dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Love Local di Stesen Petronas Kota Damansara sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di sini pada Selasa.

Beliau berkata, usaha itu akan dilakukan di seluruh negara namun tumpuan diberikan kepada lokasi yang kerap berlaku banjir seperti pantai timur dan kawasan terkesan serta berisiko.

"Kawasan tidak terkesan juga kita akan ambil tindakan kerana sekarang ini cuaca sukar diramal. Dahulu apabila bulan 11 dan 12, Terengganu dan Kelantan sahaja yang banjir tetapi sekarang ini negeri lain juga banjir.

"Ini adalah persediaan awal supaya masalah bekalan barangan ini tidak berlaku. Kita akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri dalam masa terdekat untuk menstruktur strategi bagi pastikan bekalan barang keperluan cukup," katanya.

Pada 18 September lepas, kementerian itu menubuhkan jawatankuasa khas bagi menghadapi musim banjir dan jawatankuasa itu sudah merangka pelan tindakan khusus untuk memastikan bekalan makanan mencukupi ketika berlakunya bencana. - Bernama

Artikel Berkaitan: