Pengarah universiti disyaki terima suapan kereta Honda

SPRM Melaka menahan seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti, sebuah universiti awam. - Foto hiasan
SPRM Melaka menahan seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti, sebuah universiti awam. - Foto hiasan
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti, sebuah universiti awam di sini, selepas disyaki menerima suapan harta sebuah kenderaan jenis Honda (Accord) 2.4 i-vtec.

Pengarahnya, Mohd Shahril Che Saad berkata, lelaki berusia 50-an dan berjawatan Gred J52 itu ditahan kira-kira jam 3 petang di Pejabat SPRM Melaka di Alai pada Isnin ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya, lelaki terbabit disyaki menerima suapan sebuah kereta dianggarkan bernilai RM174,500 itu sebagai balasan daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor.

"Kereta itu dipercayai diterima lelaki tersebut daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor.

"Ia sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai lebih RM1.6 juta," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa untuk permohonan reman.

Artikel Berkaitan: