Harga lantai getah sekerap: Kerajaan jamin bantu penoreh

Kerajaan memberi jaminan untuk membantu penoreh getah di negara ini bagi menghadapi isu harga lantai getah sekerap yang rendah pada masa ini iaitu RM2.50 sekilogram. - Foto fail Bernama
Kerajaan memberi jaminan untuk membantu penoreh getah di negara ini bagi menghadapi isu harga lantai getah sekerap yang rendah pada masa ini iaitu RM2.50 sekilogram. - Foto fail Bernama
A
A
A

SINTOK - Kerajaan memberi jaminan untuk membantu penoreh getah di negara ini bagi menghadapi isu harga lantai getah sekerap yang rendah pada masa ini iaitu RM2.50 sekilogram.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, untuk itu, Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya dan KSU Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada Isnin mengadakan mesyuarat, bagi menentukan opsyen terbaik menangani isu berkenaan.

"Esok kita akan kemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) apakah opsyen yang ada. Rabu kita akan bawa ke (mesyuarat) kabinet, lepas itu keputusan rasmi (berkenaan opsyen) biarlah kabinet yang putuskan.

"Saya nak beri jaminan ada benda sedang dibincangkan kerjaaan untuk melihat bagaimana cara membantu pekebun kecil dan penoreh getah. Pekebun kecil ini pemilik tanah, penoreh getah ini orang yang turun menoreh getah, kedua-dua ini kita perlu bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Universiti Utara Malaysia (UUM)- Penglibatan Ibu bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) 2022 di UUM di sini pada Isnin.

Mahdzir mengulas mengenai laporan media yang melaporkan, meskipun terdapat enam agensi terlibat secara langsung dalam menguruskan komoditi getah, namun nasib 500,000 penoreh di seluruh negara yang berhadapan pelbagai masalah tidak banyak berubah.

Laporan media itu menyebut pada masa ini dua kementerian iaitu KPPK dan KPLB yang terlibat dalam mengurus dan menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Untuk rekod, pada 11 September lepas, Mahdzir dipetik sebagai berkata dalam laporan media yang kementeriannya sedang merangka dua syor untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri, bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Artikel Berkaitan:

Syor tersebut ialah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada lebih RM3 sekilogram dan melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah daripada tiga bulan kepada enam bulan. - Bernama