Bukan mudah nak pilih calon: Salahuddin Ayub

Salahuddin ketika memberi ucapan penggulungan di Konvensyen Amanah 2022 di Seremban pada Ahad.
Salahuddin ketika memberi ucapan penggulungan di Konvensyen Amanah 2022 di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub mengakui bukan mudah untuk parti memilih dan memuktamadkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini kerana katanya, ada nama calon yang dihantar tidak diterima baik oleh ahli parti kawasan itu.

"Ada calon yang kita telah pilih tiada masalah, kawasan boleh terima dengan baik dan pencapaian dia pun baik.

"Tapi ada kawasan tidak mahu terima calon yang dipilih walaupun pencapaiannya baik. Begitu juga ada kawasan tidak menghantar nama calon itu, tapi negeri yang hantar yang mana semua itu kita akan pertimbangkan," katanya pada ucapan penangguhan di Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Menurutnya, nama yang disenaraikan akan ditapis dan dihantar kepada jawatankuasa nasional untuk dipertimbangkan selain semuanya akan melalui proses temu duga.

Beliau bagaimanapun menasihatkan ahli parti supaya jangan berbalah berkenaan apa saja isu termasuk soal calon kerana ia akhirnya akan merugikan parti.

"Ini bukan masa untuk kita teruskan peperangan antara kita nanti kita akan kalah semuanya.

"Kenal musuh kita dan siapa kawan kita. Jangan kawan jadi musuh dan musuh jadi kawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau memberitahu, Amanah mempunyai kerusi bertanding di semua negeri termasuk kerusi yang diklasifikasikan sebagai berpotensi boleh menang dan ada dilabelkan sebagai kerusi 'nasional servis'.

"Tapi itu pun tak boleh jadi ukuran kerana tak semestinya kerusi yang kita menang pada PRU14 kita akan menang dalam PRU15, keadaan sudah berubah.

"Setakat ini belum ada petunjuk yang kuat walaupun ada yang menganggap kerusi itu sebagai gred A," katanya.