Zaman kafir-mengkafir sudah lama berlalu: Ahmad Fadhli

Tak perlu beri reaksi balas berlebihan

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

PASIR MAS - Pemuda Pas beranggapan tidak ada keperluan untuk memberi reaksi balas berlebihan terhadap tohmahan kafir oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Pas pada Jumaat.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, zaman kafir-mengkafir dalam politik sudah lama berlalu dan tidak lagi relevan dengan suasana semasa.

Katanya, Pas menghormati Dr Mahathir sebagai seorang negarawan yang sudah lama dalam dunia politik dan berada di hujung usia menjangkau 100 tahun selain beranggapan zaman bekas perdana menteri itu juga sudah berlalu.

“Kafir yang beliau sebut itu menyebabkan Pas dukacita dan bukan Pas tidak kisah, tetapi difikirkan tidak perlu memberi reaksi secara berlebihan.

“Beliau masih sihat dan boleh memerhatikan politik negara itu pun sudah cukup baik,” katanya ketika ditemui di Pertunjukan Domba Garut di Tendong di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, mempercayai 90 peratus rakyat tidak melayan tohmahan kafir terhadap Pas oleh Dr Mahathir itu sebaliknya lebih tertumpu dan berminat untuk mengetahui polisi dibawa parti yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kehidupan rakyat.

“Rakyat lebih berminat tentang isu mereka nak makan, nak beli kereta, rumah yang perlu dibayar tiap-tiap bulan.

“Kalau kita beri reaksi atau bawa balik isu kafir-mengkafir, ini akan menyebabkan pelbagai lagi pertentangan yang timbul dan itu tidak sihat untuk negara ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kalau boleh saya menyebut dengan penuh hormat bahawa masa Dr Mahathir sudah berlalu. Beri laluan generasi baharu pula untuk mencorakkan negara masa yang akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Pemuda Pas bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan melancarkan jentera Pemuda parti itu pada 1 Oktober ini di Besut, Terengganu.