PRU15: Bersatu serah pimpinan PN tentukan calon, kerusi

Ahmad Faizal berucap semasa penggulungan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.
Ahmad Faizal berucap semasa penggulungan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dalam membuat ketetapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketetapan itu melibatkan dua perkara iaitu berkenaan pembahagian kerusi dan penentuan calon.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Faizal semasa berucap pada sesi penggulungan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN ke-2 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi PN berkata, Bersatu turut memberi sokongan kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat sebarang keputusan.

“Bersatu beri sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin bersama dengan Majlis Tertinggi PN untuk membuat apa juga keputusan yang diperlukan agar dapat memenangi pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan, perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa akan menjadi fokus utama bagi gabungan itu.

“Ia akan terus menjadi agenda penting dalam memastikan Malaysia terus bebas daripada amalan rasuah serta salah guna kuasa.

“Selagi PN diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, maka kita akan memastikan pentadbiran negara ini terus kekal terhindar daripada unsur-unsur yang merosakkan negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: