Bekas CEO 1MDB tidak layan permintaan dapatkan dokumen

Peguam Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -Foto Bernama
Peguam Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika prosiding kes di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mencadangkan bahawa perbuatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak melayan permintaan untuk mendapatkan dokumen syarikat, sebagai kurang ajar.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian semasa sesi soal balas bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Muhammad Shafee berkata, tindakan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak melayani permintaan Siti Zauyah untuk mendapatkan dokumen berhubung pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) adalah tidak boleh diterima.

Bagaimanapun, Siti Zauyah menukar pendapat pandangan peguam itu daripada kurang ajar kepada tidak menghormati.

"Tan Sri sebut perkataan itu, rasanya lebih sesuai ditukar kepada tidak hormat.

"Walaupun tidak hormat, tidak pula saya nak mengadu pada Datuk Seri Najib, sebab saya ada bos sendiri," katanya.

Muhammad Shafee: Saya pun ada bos di rumah, tapi kita tak boleh buat kesimpulan bahawa Datuk Seri Najib mengarahkan Shahrol Azral berkelakuan sedemikian. Datuk sendiri pun tak beritahu Datuk Seri Najib mengenai perkara itu.

Siti Zauyah: Bukan 'level' saya nak berurusan terus dengan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Berapa lama perbuatan ini berlarutan di 1MDB?

Siti Zauyah: Sejak penubuhan sampai sekarang.

Muhammad Shafee: Sekarang juga?

Siti Zauyah: Saya kena tanya siapa yang menjaga portfolio berkenaan. Saya telah bersara sebagai penjawat awam pada 14 November 2019 lalu.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 September depan.