Kes Najib: Jangan pertikai institusi kehakiman negara

Mahathir Md Rais
Mahathir Md Rais
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO perlu menghormati dan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menjatuhkan hukuman kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais berkata, apa yang berlaku harus dijadikan pengajaran untuk pimpinan parti itu pada masa akan datang.

Menurutnya, pelbagai sentimen yang sengaja diwujudkan ketika ini boleh menjatuhkan institusi kehakiman negara.

“Jangan hanya disebabkan isu seperti ini sistem kehakiman di negara ini menerima pandangan buruk negara lain,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin parti berkenaan yang turut menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkomplot untuk memenjarakan bekas perdana menteri itu.

Mahathir berkata, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang membuat keputusan menolak rayuan dikemukakan bekas perdana menteri itu adalah terbaik, bukti kerajaan tidak berkompromi dengan isu penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Mereka menjalankan tugas diamanahkan dengan telus, penuh integriti tanpa pengaruh daripada sesiapa. Tidak wajar membuat tuduhan seolah-olah apa yang berlaku memang sudah dirancang,” katanya.

Tambah Mahathir, UMNO harus sedar undang-undang yang telah termaktub dan tertulis tidak mengenal sesiapa.

Artikel Berkaitan:

“Undang-undang yang tertulis dan termaktub wajib diikuti dan hakim sebagai pentafsir serta membuat keputusan berasaskan undang-undang perlu dihormati tanggungjawabnya,” katanya