Najib ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri prosiding kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Khamis.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, prosiding diadakan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam kes itu, Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) jumlah yang sama.

Bagi kes rasuah, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kes AMLA pula, dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setakat ini, seramai 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan dengan saksi terbaharu iaitu bekas Pengurus Kanan Jabatan Jualan Pertukaran Mata Wang Asing Ambank, Rosliza Ishak.

Keesokkan hari, Najib akan mengikut prosiding kes meminda laporan audit 1MDB, yang akan didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Selain Jumaat, mahkamah telah menetapkan beberapa tarikh lain iaitu 2 September serta 21, 25 dan 28 Oktober untuk meneruskan perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan ini, Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Tindakan itu menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam kes itu juga, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah.