Bajet 2023: Orang ramai dipelawa beri maklum balas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) mempelawa semua pihak untuk memberi maklum balas mengenai Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 yang bertajuk ‘Penambahbaikan Dasar Perolehan Hijau Kerajaan’ sebelum atau pada 12 September 2022.

Menurut MOF maklum balas itu boleh disampaikan kepada pihaknya melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.

"MOF telah menerbitkan sebuah KKA untuk Bajet 2023 bertajuk ‘Penambahbaikan Dasar Perolehan Hijau Kerajaan’. Cadangan dalam KKA tersebut dibentangkan dengan objektif untuk menerapkan dan memperkasakan inisiatif hijau dalam pelaksanaan perolehan kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan,” jelas MOF dalam kenyataan pada Rabu.

MOF menjelaskan, KKA itu juga merupakan satu instrumen untuk mencapai aspirasi kerajaan ke arah pembangunan mampan serta sebagai peneraju perolehan hijau bagi memangkinkan sektor swasta untuk mencontohi usaha kerajaan.

Penerbitan KKA merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh, tambahnya.

Menurut MOF, kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: