Sprint Race jadikan MotoGP lebih menarik

Acara Sprint Race bakal menjadikan MotoGP lebih menarik. - foto Reutir.jpg
Acara Sprint Race bakal menjadikan MotoGP lebih menarik. - foto Reutir.jpg
A
A
A

ACARA Sprint Race yang bakal diperkenalkan pada semua perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) mulai musim 2023 kelak dilihat bakal menjadikan acara sukan permotoran itu lebih menarik.

Menurut Prinsipal Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP, Datuk Razlan Razali, acara itu keseluruhannya akan membantu menarik kunjungan penonton terutamanya peminat sukan permotoran bagi menyaksikan dua perlumbaan yang dijalankan pada setiap hujung minggu.

"Pengenalan acara Sprint Race akan memberikan manfaat kepada semua pihak. Bagi pengunjung, mereka akan dapat menikmati lebih acara apabila ada perlumbaan yang diadakan pada Sabtu (Sprint Race) dan juga perlumbaan sebenar (MotoGP), pada Ahad.

"Jadi, masa hujung minggu mereka akan terisi dengan dua aktiviti utama ini di litar berkenaan dan dalam masa sama pihak penganjur juga akan dapat menjana pendapatan hasil kunjungan penonton bagi menyaksikan kesemua acara yang ada sempena MotoGP berkenaan seperti Sprint Race, Moto3, Moto2 dan MotoGP.

"Para pelumba juga tidak perlu risau dengan grid (kedudukan) mereka kerana semua itu akan ditentukan mengikut format lama melalui saingan kelayakan; Q1 dan Q2," katanya pada sidang media menerusi aplikasi zoom pada Sabtu.

Pada Sabtu, pihak Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA), Persatuan Pengeluar Sukan Motosikal (MSMA) dan Dorna Sports mengumumkan bahawa Sprint Race bakal diadakan di setiap litar MotoGP.

Pengumuman berkenaan nyata mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pelumba-pelumba MotoGP apabila ada yang menyambut baik dan ada yang menentang pengenalan acara Sprint Race berkenaan diadakan.

Sementara itu Razlan berkata, pelumba baharu bagi pasukan WithU Yamaha RNF bakal diumumkan pada 1 September 2022.

Katanya, seramai dua pelumba telah dikenal pasti dan mereka akan beraksi untuk pasukan WithU Yamaha RNF bagi mengharungi musim 2023 kelak.

"Kita dah kenal pasti dua pelumba dan apa yang kita boleh beritahu adalah kedua-dua pelumba ini adalah daripada MotoGP dan bukan dari Moto2," katanya.