TEKUN Nasional perkenal SPOT bantu usahawan dalam talian

Noh (dua dari kiri) pada Sesi Dialog Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama persatuan, koperasi dan usahawan Bumiputera di tapak karnival Stadium Shah Alam pada Sabtu.
Noh (dua dari kiri) pada Sesi Dialog Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama persatuan, koperasi dan usahawan Bumiputera di tapak karnival Stadium Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Skim Pembiayaan Online Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) Nasional atau SPOT diperkenalkan sebagai satu skim pembiayaan baharu di bawah TEKUN Nasional.

Sebagai permulaan sebanyak RM10 juta diperuntukkan dengan sasaran kepada 1,000 usahawan khususnya usahawan dalam talian bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan memaklumkan, skim pembiayaan SPOT terbuka kepada usahawan informal dan mikro (Bumiputera dan India).

Menurut kenyataan, usahawan yang layak memohon adalah yang berumur 18 hingga 65 tahun dengan nilai pembiayaan dari RM1,000 sehingga RM10,000 manakala caj pengurusan tiga peratus setahun dikenakan dengan menggunakan konsep Tawarruq.

"SPOT bertujuan untuk membantu usahawan dalam talian mengembangkan perniagaan dan sebanyak RM10 juta diperuntukkan dengan sasaran 1,000 orang usahawan.

"SPOT boleh mula dipohon mulai 20 Ogos 2022 melalui Pejabat Cawangan TEKUN (menerusi perkhidmatan di kaunter)," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Pada Sabtu, KUSKOP turut menganjurkan Sesi Dialog Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bersama persatuan, koperasi dan usahawan Bumiputera.

Seramai 1,000 jemputan terdiri daripada wakil persatuan, anggota koperasi dan juga usahawan Bumiputera menghadiri sesi dialog di Pentas Utama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Selangor, di tapak karnival Stadium Shah Alam.

Penganjuran sesi dialog bertujuan untuk mendapatkan pandangan, input dan maklum balas serta hasrat golongan usahawan Bumiputera kepada kerajaan terutamanya bagi KUSKOP.

Selain itu, pelbagai isu, cadangan dan usul berkaitan pemerkasaan keusahawanan dibangkitkan peserta merangkumi akses pembiayaan, program latihan keusahawanan, lesen perniagaan, akses pasaran dan rantaian bekalan.