Bola sepak negara hilang 'pakar' dengan pemergian Ismail

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

PEMERGIAN jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria yang meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara terutama dari segi kepakaran mengendalikan kursus kejurulatihan serta kejohanan di peringkat belia.

Ketua Jurulatih Sabah, FC Datuk Ong Kim Swee berkata, Allahyarham Ismail adalah seorang jurulatih dikenali kerana kemahiran tinggi yang dimiliki dalam aspek teknikal berbanding sentuhan dan magisnya ketika membimbing pasukan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, kelayakan yang ada pada Allahyarham bukan sahaja telah banyak membantu penganjuran kursus kejurulatihan lesen B dan C di negara ini, malah khidmatnya ditagih dalam banyak kejohanan peringkat remaja.

"Kita selalu berjumpa di FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), apabila kita berbincang fasal bola sepak kita tahu pengetahuan yang ada pada dia amat mendalam terutama dari segi budaya bola sepak. Jadi dia bukan saja mempunyai kelulusan tapi tahu selok-belok budaya bola sepak.

"Dia (Allahyarham) seorang tidak banyak bercakap tetapi apabila kita membentangkan sesuatu sering ada perdebatan kerana ini penting dan menunjukkan pendiriannya sebagai jurulatih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim yang kini membimbing pasukan Liga Premier Kuching City FC semasa dihubungi Bernama terkejut dengan berita pemergian Ismail yang disifatkan sebagai ‘bukan calang-calang jurulatih’ kerana pengetahuan luasnya.

"Saya rasa sedih kerana selama ini dia (Allahyarham) jaga dan uruskan isteri dia yang sakit (dialisis) tetapi dia yang pergi dulu. Dia boleh dikatakan seorang sahabat yang tidak lokek berkongsi ilmu dan menjawab segala pertanyaan, ini satu kehilangan yang amat besar,” kata pengendali berusia 71 tahun itu.

Irfan Bakti turut menyifatkan Allahyarham seorang jurulatih yang hebat dan ia dibuktikan dengan pencapaian bersejarah membimbing pasukan Sime Darby FC ke pentas final Piala FA 2012, namun tewas 0-1 kepada Kelantan pada pertembungan di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Jurulatih skuad bola sepak pantai kebangsaan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 60 tahun di sebuah hospital swasta di Cheras tengah hari tadi akibat serangan jantung, demikian menurut hantaran Facebook rasmi FAM.

Allahyarham pernah membimbing pasukan Kuala Lumpur, Kuantan FA dan UiTM FC.

Selain membawa Sime Darby muncul naib juara Piala FA 2012, Ismail turut membawa pasukan sama menjuarai Liga FAM 2010 dan naib juara Liga Premier 2013. - Bernama