PRU15: Rafizi mula berkempen esok

Rafizi akan melatih sendiri PACA yang merupakan komponen penting untuk menang dalam pilihan raya.
Rafizi akan melatih sendiri PACA yang merupakan komponen penting untuk menang dalam pilihan raya.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memaklumkan kempen mingguan untuk menyediakan jentera dan sukarelawan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bermula pada Sabtu.

Rafizi berkata, berdasarkan pengalaman menggerakkan kempen dalam pilihan raya lalu, beliau kini telah menggariskan beberapa taktik utama untuk mencapai kemenangan termasuk pengolahan isu yang berkesan bagi menarik minat dan keyakinan pengundi.

Selain itu katanya, mewujudkan gelombang kempen dengan menggerakkan jentera dan sukarelawan serta menguasai kempen digital melalui penghasilan kandungan media sosial yang bermutu secara tersusun juga bakal menjadi antara fokus utama parti.

“Setakat beberapa bulan lepas, saya telah memberi perhatian untuk mengolah kembali isu-isu nasional supaya PKR dan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan lebih proaktif.

“Sebelum ini, kita dilihat terlalu defensif dan membiarkan jentera propaganda UMNO memutar belit banyak perkara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Rafizi berkata, beliau akan turut memberi tumpuan untuk meningkatkan kehadiran dan capaian PKR dan PH di media sosial dengan prestasi capaian media sosial parti terus dipantau oleh Pengarah Komunikasi, Lee Chean Chung.

Menurutnya, perkembangan dari segi pengolahan isu dan capaian media sosial kini membolehkan tumpuan diberikan kepada taktik seterusnya, iaitu mewujudkan gelombang kempen di peringkat lapangan.

“Kami yakin capaian media sosial PKR akan memotong capaian Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Untuk itu, saya dan rakan-rakan seperti Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang dan lain-lain akan memulakan kempen trak #AyuhMalaysia bermula Sabtu,” ujarnya.

Kempen trak #AyuhMalaysia bermula Sabtu ini.
Kempen trak #AyuhMalaysia bermula Sabtu ini.

Jelas Rafizi, selain kempen penerangan trak #AyuhMalaysia, beliau juga akan melatih sendiri Ejen Tempat dan Kira Undi (PACA) yang merupakan komponen penting untuk menang dalam pilihan raya.

“Kita akan memfokuskan latihan PACA dan tutorial 'phonebank' menggunakan aplikasi CISTA (aplikasi sukarelawan bagi tujuan aktiviti berkaitan pilihan raya di Malaysia) yang merupakan sebahagian daripada gerak kerja strategik.

“Latihan PACA adalah untuk melatih sukarelawan menjadi ejen yang berwibawa manakala ‘phonebanking’ untuk mengubah pengundi atas pagar sekali gus memenangkan calon-calon progresif,” ujarnya.

Untuk makluman, destinasi pertama trak #AyuhMalaysia adalah melibatkan kerusi-kerusi Parlimen Setiawangsa, Wangsa Maju, Gombak, Ampang, Batu, Titiwangsa dan Selayang.

Trak #AyuhMalaysia akan menjelajah ke seluruh negara setiap minggu dan akan turut singgah di kawasan-kawasan pedalaman dan Felda, seperti yang dilakukan dalam kempen pilihan raya lepas.