Tubuh jawatankuasa khas sebelum RUU Anti Lompat Parti dibentang

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Tarmizi)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Tarmizi)
A
A
A

SEREMBAN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan mencadangkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam satu Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Oktober ini.

Pengerusi Muda Negeri Sembilan, Tarmizi Anuwar berkata, jawatankuasa berkenaan perlulah dianggotai wakil daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

"Jawatankuasa itu berperanan meneliti dan menetapkan konsep atau mekanisme dalam menghalang lompat parti di Negeri Sembilan.

"Selain itu ia bertujuan mengesyorkan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Pada masa sama katanya, penubuhan jawatankuasa terbabit dapat memastikan komitmen kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang dan memperkasa usaha kerjasama bipartisan.

Menurutnya, ia secara tidak langsung menjadi satu reformasi politik penting di Negeri Sembilan.

"Walaupun kerajaan Negeri Sembilan kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan selepas berlakunya Langkah Sheraton, tetapi pindaan enakmen di peringkat negeri mesti dilakukan bagi memastikan lompat parti tidak akan terjadi pada masa akan datang.

"Pengalaman di beberapa negeri antaranya Sabah yang menjadi mangsa lompat parti dan polemik 'pembelian' wakil rakyat sehingga terpaksa berlakunya pilihan raya semula negeri telah menghakis kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi di negara ini," katanya.

Justeru, katanya, pindaan dan pelaksanaan di peringkat negeri perlu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi dan pilihan raya di Negeri Sembilan.