PRU15: Terbuka jika ada lagi MP mahu sertai PBB

Fadillah - Foto Bernama
Fadillah - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) terbuka sekiranya ada ahli Parlimen negeri itu mahu menyertai parti tersebut.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun perkara itu perlu dibincangkan bersama-sama parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mendapatkan persetujuan.

"Kita terbuka dan ada prinsip dalam kalangan parti komponen GPS, apa pun kita kena bincang dengan parti komponen lain dan bukan sahaja PBB. Ini kerana kita adalah dalam sebuah komponen," katanya dalam sidang akhbar di Taman Sri Lalang di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya sebelum itu meninjau lokasi aduan jalan rosak di simpang ke Pulai dekat sini.

Fadillah mengulas dakwaan beberapa lagi ahli Parlimen dari negeri itu akan menyertai PBB menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 6 Ogos lalu, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongi menamatkan spekulasi apabila sah menyertai PBB.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu sebelum ini menang kerusi Parlimen itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14 sebelum meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 dan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ditanya mengenai pendirian GPS sama ada akan bersama-sama Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) pada PRU15, Fadillah berkata, perkara itu akan diputuskan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau yang juga Ketua Whip GPS berkata, keutamaan gabungan tersebut ketika ini adalah bagi memastikan kestabilan politik.

Fadillah berkata, semua parti politik dan ahli politik juga perlu fokus untuk bangunkan semula negara dalam cabaran masa kini.