Pas perkasa penyatuan ummah, fokus satu lawan satu PRU15

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan terus berusaha menjayakan penyatuan ummah selain tetap fokus bagi memastikan agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tercapai.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, agenda tersebut memerlukan penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU14 lalu.

“Kemenangan Pakatan Harapan (PH) jelas menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara.

“Pemerintahan PH selama 22 bulan telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada kepentingan rakyat bahkan juga kedaulatan negara dan kepentingan umat Islam serta bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Prinsip Pas dalam politik adalah jelas dan Pas akan berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU15 melalui apa jua kaedah dan cara selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Khamis.

Jelasnya lagi, penyatuan ummah ini akan dilakukan dengan berasaskan kepada tiga prinsip utama yang telah digariskan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau iaitu adil kepada semua, satu keluarga Malaysia dan Islam memimpin.

“Seiring dengan slogan ‘Islam Menyatukan Ummah’, Pas menyeru kepada semua pihak untuk mendukung agenda penyatuan ummah ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya.