Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) kembali

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek penajaan Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) kepada Emran (dua dari kiri) sambil disaksikan Mohd Khairuddin (tiga dari kiri) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek penajaan Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) kepada Emran (dua dari kiri) sambil disaksikan Mohd Khairuddin (tiga dari kiri) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis
A
A
A

SELEPAS dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik, kejohanan bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) bakal kembali berlangsung bermula pada 19 September ini.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, kejohanan yang amat dinanti-nantikan itu akan menyaksikan sebanyak 32 pasukan terbaik dari setiap daerah di Selangor bakal berentap untuk meraih piala tersebut yang sudah mencapai tahun keempat penganjurannya.

“Kita mengharapkan kejohanan ini akan terus berjaya seperti mana tahun-tahun lalu. Malahan semangat daripada pihak sekolah dan pemain juga sangat berkobar-kobar kerana mereka sudah lama bercuti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman yang turut menyaksikan penyerahan tajaan bernilai RM100,000 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Emran berkata, johan kejohanan tersebut akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM8,000 beserta piala pusingan manakala naib johan (RM6,000), tempat ketiga (RM4,000) dan tempat keempat (RM2,000).

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran piala itu diharapkan dapat terus menjadi platform menjadikan Selangor sebagai sumber melahirkan pemain bola sepak terbaik di dalam negara, selaras dengan hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan pencetus kepada kejohanan tersebut.

Peringkat kumpulan kejohanan itu akan bermula pada 19 hingga 23 September ini dengan kesemua pasukan terbabit dibahagikan kepada lapan kumpulan, setiap satunya terdiri daripada empat pasukan.

Johan dan naib johan setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 27 September ini diikuti dengan suku akhir (3 dan 4 Oktober 2022), separuh akhir (6 Oktober 2022) dan akhir (8 Oktober 2022).

Mengekalkan format sama seperti sebelum ini, pasukan terlibat dalam Piala Mokhtar Dahari dipilih daripada empat pasukan terbaik dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah di setiap daerah di Selangor.

Sinar Harian merupakan media rasmi kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun).