Ahmad Zahid tukar reka bentuk kapal

Media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1.
Media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menukar reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) daripada Sigma kepada Gowind pada tahun 2011, bertentangan dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia didedahkan dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan enam LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan di portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu.

Menurut laporan itu, Ahmad Zahid pada mulanya bersetuju dengan pendirian TLDM untuk memilih reka bentuk Sigma dari Belanda selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011.

Bagaimanapun, beliau mengubah keputusan itu dan memilih reka bentuk Gowind dari DCNS, Perancis pada 11 Julai 2011 selepas disyorkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

"Jawatankuasa Siasatan juga mendapati kesungguhan BNS untuk memilih reka bentuk Gowind disebabkan mereka telah mengadakan perbincangan dan rundingan lebih awal dengan DCNS untuk melaksanakan pembinaan LCS.

"Ini dapat dibuktikan apabila BNS telah mengeluarkan surat niat kepada DCNS pada 13 Julai 2011 iaitu dua hari selepas Ahmad Zahid menyatakan persetujuan dengan syor BNS," kata laporan tersebut.

Jelas laporan itu, cadangan bagi menetapkan spesifikasi reka bentuk kapal dan peralatan telah melalui beberapa siri perbincangan antara TLDM dan BNS sebelum surat setuju terima (SST) dikeluarkan kepada syarikat BNS.

"Mengikut perancangan asal, BNS dikehendaki memutuskan rakan kongsi dan opsyen reka bentuk kapal berdasarkan pembentangan dilaksanakan BNS sebelum 31 Januari 2011.

"Namun, pemilihan tersebut gagal dikemukakan oleh syarikat BNS kepada TLDM dalam tempoh ditetapkan," ujarnya.

Laporan JKSTUPKK itu turut mendedahkan bahawa sebanyak empat kali rundingan harga telah dibuat antara BNS dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

"Pada 10 Julai 2013, rundingan harga yang keempat telah dilaksanakan iaitu daripada RM9.693 bilion yang dipersetujui sebelum ini diturunkan kepada RM9 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM693 juta atau 7.15 peratus," katanya.

Menurut laporan itu, jawatankuasa siasatan berpendapat rundingan harga yang diadakan berdasarkan tawaran BNS adalah tidak realistik kerana syarikat terbabit menawarkan harga perolehan projek dalam tempoh selang sehari iaitu pada 15 dan 16 Oktober 2012 dengan perbezaan sebanyak RM224.59 juta.

Katanya, walaupun tawaran harga pertama telah dirundingkan kepada RM9.472 bilion, BNS telah menawarkan harga yang kedua melebihi dari harga yang telah dirunding iaitu RM10.300 bilion.

"Didapati harga yang dirundingkan bagi kali kedua iaitu RM9.675 bilion adalah lebih tinggi sebanyak RM203 juta daripada harga yang dirundingkan kali pertama iaitu RM9.472 bilion.

"Proses rundingan harga berlarutan sehingga sembilan bulan untuk dimuktamadkan bagi mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF)," katanya.

Menurut laporan tersebut, jawatankuasa siasatan mendapati proses rundingan harga telah dilaksanakan selepas SST Asal dikeluarkan iaitu pada 16 Disember 2011.

"Sepatutnya proses rundingan harga dilaksanakan dan dimuktamadkan sebelum SST dikeluarkan. Amalan ini adalah tidak teratur sebagaimana ditetapkan dalam peraturan kewangan semasa," kata laporan itu.