Tiga perkara Syed Saddiq mahukan untuk ‘Malaysia Maju’

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyenaraikan tiga perkara yang beliau mahukan di bawah inisiatif ‘Malaysia Maju’.

Ia adalah pendidikan bertaraf antarabangsa untuk semua; pekerjaan dan gaji bermaruah serta kualiti hidup yang baik untuk semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama.

Ahli Parlimen Muar itu turut mengajak rakyat Malaysia untuk berkongsikan tiga perkara penting yang mereka mahukan di bawah inisiatif berkenaan meliputi antaranya isu berkaitan pendidikan, ekonomi sejahtera, pertanian moden, peluang pekerjaan dan seni negara.

“Klik sini untuk berkongsi idea, pandangan dan hasrat anda. https://malaysiamaju.co/” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Bermula Ahad, Muda menggerakkan 80,000 ahlinya di seluruh negara untuk bertemu seramai mungkin rakyat Malaysia bagi mengumpulkan idea, pandangan dan hasrat rakyat bagi sebuah 'Malaysia Maju'.

Inisiatif yang akan dijalankan selama 60 hari itu dilaksanakan melalui pelbagai program termasuk turun padang bersama rakyat, Konvoi Malaysia Maju, forum, Debat Suara Semua, Raih Dana Malaysia Maju dan Perhimpunan Malaysia Maju.

Muda memaklumkan setiap idea, pandangan dan hasrat rakyat Malaysia akan dibukukan sebagai Kertas Hitam Muda, yang mana polisi dan dasar terbaik untuk ‘Malaysia Maju’ akan dibentangkan sebagai panduan.