Bertanding PRU15 belum muktamad: Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

LANGKAWI - Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan keputusan untuk beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum muktamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu hanya akan dimuktamadkan menjelang PRU15 setelah menimbang pelbagai aspek.

Menurutnya, hasrat itu akan diteruskan sekiranya mendapat sokongan ahli selain faktor kesihatan beliau.

"Bila dekat pilihan raya nanti, kita buat keputusan. Waktu ini keadaan tidak menentu. Kalau perlu bertanding saya akan bertanding.

"Kalau ikut kehendak saya tua sangat dah, tak payah bertanding. Sebab itu kadang-kadang saya jawab ya (akan bertanding), waktu lain pula saya kata tidak bertanding," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha bot pelancongan di Jeti Tanjung Rhu di sini, pada Isnin

Dr Mahathir berkata, isu berkenaan menyebabkan beliau berada dalam keadaan serba salah apabila ditanya oleh penyokong parti berkaitan perkara itu.

"Banyak pihak kata saya dah tua, tak usah (bertanding). Bagi peluang kepada orang muda, ada penyokong yang marah kalau saya kata tak nak bertanding.

"Jadi saya serba-salah. Bila kata nak bertanding orang kata dah tua, kalau tak nak bertanding orang kata tak boleh macam tu pula, kena bertanding," katanya lagi.

Ketika ditanya tarikh sesuai diadakan PRU15, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, PRU15 tidak sesuai diadakan dalam waktu terdekat susulan kerajaan dilihat tidak cekap dalam menguruskan negara.

"Saya fikir boleh tunggu dulu, tak boleh gopoh sangat.

"Kita nak tentukan segalanya diurus dengan baik. Saya kurang yakin dengan kebolehan kerajaan seolah-olah tak tahu apa nak buat," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, cara pentadbiran dilihat lambat sehingga terdapat kes di mana duta tidak dilantik sehingga berbulan lamanya.

"Apabila pilih pula ambil orang politik jadi duta, kemudian berhentikan. Lepas itu bagi pula. Semua ini menunjukkan kerajaan tidak cekap," ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu membuktikan kecekapan dalam pentadbiran sebelum mahu mengadakan PRU15.

"Kerajaan mesti cekap cara-cara pentadbiran, ada caranya. Kita tak boleh langkah atau ketepikan cara dan buat sesuka hati," tambah beliau.