[VIDEO] Polis buka kertas siasatan Himpunan #Turun

Individu yang hadir dalam Himpunan #Turun di hadapan sebuah pusat beli belah pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Individu yang hadir dalam Himpunan #Turun di hadapan sebuah pusat beli belah pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka satu kertas siasatan berhubung Himpunan #Turun yang berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Setakat ini, seramai 30 individu telah dikenal pasti dan kesemua individu yang terlibat dalam himpunan terbabit akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Keterangan mereka akan diambil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Noor Dellhan berkata, pihaknya telah mengesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang dihadiri kira-kira 100 individu yang terdiri daripada mahasiswa serta ahli politik.

"Peserta didapati mengadakan perhimpunan sambil memegang plakad dan sepanduk bertulis 'potong gaji menteri', 'turun dan lawan' serta lain-lain lagi.

"Polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang atau tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa," katanya.