Pinda Peraturan Mesyuarat, denda ahli Parlimen bermulut cabul

KPPP menggesa pindaan dilakukan terhadap Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 bagi menangani insiden membabitkan ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata kesat di dalam Dewan Rakyat.
KPPP menggesa pindaan dilakukan terhadap Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 bagi menangani insiden membabitkan ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata kesat di dalam Dewan Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (KPPP) menggesa agar pindaan dilakukan terhadap Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 36 bagi menangani dengan lebih baik insiden membabitkan ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata kesat di dalam Dewan Rakyat.

Ia susulan tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menggelar beberapa ahli Parlimen wanita DAP mempunyai perangai tidak senonoh dan turut dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat ketika perbahasan di Parlimen pada Rabu lalu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KPPP berkata, pindaan itu perlu dilakukan bagi memastikan mana-mana ahli Parlimen yang mengeluarkan ungkapan seksis, perkauman, khianat, subversif dan menyinggung secara automatik dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat serta seterusnya dikenakan hukuman berat jika didapati bersalah.

“KPPP ingin mengingatkan orang ramai bahawa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat adalah tempang dalam menghukum pesalah berkaitan ungkapan kesat dan merendahkan.

“Walaupun ungkapan seksis, perkauman, khianat, subversif dan menyinggung semuanya ‘menjadi kesalahan’ di bawah Peraturan 36(4) dan (10), namun tiada penalti diperuntukkan.

“Oleh itu, seseorang pesalah boleh terlepas dengan hanya menarik balik perkataan dan memohon maaf, yang mana Tajuddin Abdul Rahman tidak ambil peduli pun untuk melakukannya di hadapan Timbalan Yang Dipertua,” kata kenyataan itu.

Kenyataan KPPP itu ditandatangani antaranya oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Persatuan Pengundi Muda (Undi18) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Untuk menghalang secara berkesan insiden tersebut, KPPP berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat perlu memanggil jawatankuasa dan meminta pindaan Peraturan Mesyuarat 36 diluluskan sebelum mesyuarat Parlimen berakhir pada Ogos ini.

Jelasnya, selain merujuk pesalah secara automatik kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat, pindaan itu antara lain membabitkan denda sekurang-kurangnya RM500 jika bersalah.

Turut dicadangkan dalam pindaan tersebut adalah keperluan untuk mengenakan hukuman harus lebih berat bagi pesalah berulang, dengan penggantungan secara mandatori menjadi pilihan untuk memaksa parti atau whip parti menguatkuasakan disiplin dalam kalangan ahli Parlimen parti mereka.

“Secara simboliknya, memandangkan ahli Parlimen dibayar RM500 sebagai elaun untuk kehadiran harian, denda sekurang-kurangnya RM500 menunjukkan kehadiran mereka akan terbatal oleh perkataan yang menyinggung perasaan tersebut.

“Sementara itu, penggantungan mandatori ahli Parlimen yang melanggar peraturan akan membuatkan parti-parti bangun dan mengambil tindakan pencegahan kerana ia boleh menyebabkan kehilangan ahli mengundi dalam Dewan Rakyat,” ujarnya.

KPPP berkata, dengan ancaman kemungkinan denda dan penggantungan, ahli Parlimen dan parti akan menjalankan disiplin lebih ketat untuk mematuhi adab di dalam Parlimen.

“Kegagalan semasa untuk menghukum pesalah berulang telah memberi isyarat bahawa kelakuan sedemikian diterima, malah dibenarkan oleh Dewan Rakyat,” kata kenyataan itu lagi.