Hampir 30 peratus wanita wakil MPP PKR

JUWAIRIYA. - FOTO ROSLI TALIB
JUWAIRIYA. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Hampir 30 peratus daripada keseluruhan perwakilan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2022-2025 terdiri daripada golongan wanita.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata, ia merupakan satu usaha yang pragmatik dalam mengarusperdanakan penyertaan wanita dalam politik sebagai suara yang mempengaruhi dasar bukan sahaja dalam peringkat setiap lapisan dalaman parti bahkan di peringkat nasional.

Antara nama-nama lain wanita yang mengangotai MPP adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasamy; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Nor Azrina Surip; Elizabeth Wong; Siti Aishah Shaik Ismail; Raiyan Abdul Rahim; Datuk Christina Liew dan Rodziah Ismail.

“Buat pertama kali dalam sejarah PKR, parti keramat ini berani untuk melakukan langkah proaktif dengan melantik dua Naib Presiden wanita iaitu Nurul Izzah dan Saraswathy.

“Saya amat menyambut baik keputusan ini kerana seramai 10 daripada 37 orang perwakilan tersebut adalah wanita iaitu hampir 30 peratus daripada keseluruhan perwakilan.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar reformasi ini menjadi wadah untuk kita bersama-sama merangka strategi jangka masa panjang merangkumi pembaharuan undang-undang, reformasi institusi, ekonomi dan sosial untuk melindungi hak wanita dan kanak-kanak serta mempromosikan kesaksamaan gender di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.