MoU antara kerajaan, PH berkuat kuasa sehingga Parlimen bubar

Annuar ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan terus berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada pihak yang menandatangani perjanjian itu, sekiranya ingin menyemak semula perkara berkenaan.

Beliau berkata, MoU sedia ada tidak mempunyai tarikh luput tetapi dicatatkan di bawah Perkara 3(1) bahawa MoU itu berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani hingga Parlimen dibubarkan.

"... setakat MoU yang sedia ada, masih kekal berkuat kuasa, cuma kekeliruan timbul kerana ada satu klausa dalam MoU itu yang menyatakan kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai.

"Jadi, tidak ada usul pembubaran Parlimen sehingga akhir bulan ini. Kalau selepas bulan ini (klausa Parlimen dibubarkan)... terpulang kepada Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Annuar diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tegas untuk tidak melakukan sebarang lanjutan MoU antara kerajaan dengan PH.

Annuar berkata, MoU itu bukan melibatkan parti (UMNO), tetapi ia adalah antara PH dan Perdana Menteri untuk mengekalkan kestabilan politik.

Katanya, MoU berkenaan bukan hanya melibatkan soal pembubaran Parlimen, namun meliputi pelbagai perkara lain yang dicapai antara Perdana Menteri dan pembangkang.

Memorandum berkenaan mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Ditanya mengenai cadangan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Annuar berkata, soal jawatan itu tidak perlu difikirkan sebaliknya lebih baik memfokus kepada masalah rakyat yang sedang berdepan kenaikan harga barangan ketika ini.

"Kita (harus) terus bekerja sebagai satu pasukan dan lebih baik lagi kalau pembangkang juga turut memberikan kerjasama mengekalkan kestabilan supaya kita boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan.

"... kalau kita rasa sudah sampai (masa) hendak mengadakan pilihan raya, eloklah segera kita adakan... tetapi pada masa ini, pada saya polemik politik ada baiknya dikurangkan dan kita tumpu untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya. - Bernama