Honda Civic hilang di Genting Highlands ditemukan di Putrajaya

Honda Civic dengan warna asal sebelum hilang di Genting Highlands (gambar kiri) telah dicat dengan warna lain (gambar kanan) ketika ditemukan di Putrajaya pada Selasa. Foto : Ihsan PDRM
Honda Civic dengan warna asal sebelum hilang di Genting Highlands (gambar kiri) telah dicat dengan warna lain (gambar kanan) ketika ditemukan di Putrajaya pada Selasa. Foto : Ihsan PDRM
A
A
A

BENTONG - Sebuah kereta jenis Honda Civic Type R milik seorang lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu di Genting Highlands ditemukan di Putrajaya pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kereta milik lelaki berusia 28 tahun itu ditemui di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Putrajaya oleh pengawal keselamatan premis tersebut pada jam 7.48 malam.

Menurutnya, siasatan pihak polis mendapati kenderaan tersebut didaftar masuk ke kawasan kondominium berkenaan kira-kira jam 6 pagi, Sabtu lalu.

"Pihak polis telah menghubungi mangsa dan memaklumkan penemuan semula kereta miliknya.

"Sebelum ini, lelaki tersebut yang bekerja sebagai eksekutif operasi di Singapura bercuti di Genting Highlands telah meletakkan kenderaan miliknya pada Jumaat lalu kira-kira jam 12.40 tengah hari di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di pusat peranginan terbabit.

"Mangsa menyedari keretanya hilang pada Sabtu lalu pada jam 6 petang dan telah membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, ketika kereta itu ditemukan, warna asal kenderaan berkenaan juga telah ditukar kepada warna lain.

"Usaha menjejaki suspek yang dipercayai terlibat sedang giat dijalankan oleh pihak polis berdasarkan rakaman beberapa kamera litar tertutup yang diperolehi," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.