Tambah baik RUU Larangan Bertukar Parti sebelum dibahas

Wee Tse (tengah) ketika sidang akhbar di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru pada Selasa
Wee Tse (tengah) ketika sidang akhbar di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru pada Selasa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penambaikan perlu dilakukan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, proses itu perlu kerana RUU berkenaan tidak melarang sepenuhnya mana-mana ahli Parlimen daripada menyatakan sokongan terhadap parti lain untuk menjadi perdana menteri.

Jelasnya, ada bahagian dalam RUU tersebut menyatakan jika ahli Parlimen yang dipecat parti, dia masih kekal menjadi wakil rakyat.

"Katakanlah ada ahli Parlimen daripada PKR menyokong pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri, apa parti boleh buat? Kalau parti pecat dia, dia akan menjadi Bebas, namun masih jadi wakil rakyat yang sah.

"Langkah terbaik yang boleh dibuat adalah (parti) menggantung keahliannya, tetapi itu tidak mengubah keadaan kerana dia masih lagi ahli Parlimen dan layak menyokong calon parti lain menjadi perdana menteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 billion daripada waris kesultanan Sulu, di Balai Polis Tampoi di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan RUU tersebut akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik berkata, pewartaannya dijangka dibuat antara 29 Ogos hingga 2 September ini.

Wee Tse yang juga Ketua Cabang PKR Pulai berkata, perkara tersebut masih lagi tidak dibangkitkan sehingga kini.

Jika di Singapura katanya, kerusi milik ahli Parlimen itu akan hilang selepas dipecat oleh parti tetapi undang-undang itu dipertikai untuk dilaksana di negara ini kerana memberi kuasa besar kepada parti untuk membuang mana-mana ahli Parlimen.

"Saya cadangkan pelaksanaan RUU itu perlu dilaksanakan bersama 'recall election'. Ini bermakna, pengundi di sesebuah kawasan Parlimen boleh melakukan petisyen menuntut untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan mereka sekiranya perkara itu timbul," katanya.

Sekiranya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dipilih menjadi ahli Parlimen tetapi menyatakan sokongan kepada parti lain, beliau berkata, pengundi berhak menuntut 'recall election' untuk pengundian diadakan sekali lagi di kawasan itu.

"Memandangkan parti tidak ada kuasa dalam hal itu, ia perlu diberikan kepada pengundi. Ini sebagai cara untuk mengimbangi situasi ini yang mungkin boleh berlaku di masa akan datang," katanya.