[VIDEO] PH sendiri keliru apa dasar mereka: Shahril

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menempelak Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mempertikaikan tindakan kerajaan menyediakan subsidi dan bantuan kewangan kepada rakyat.

Sebaliknya Shahril menegaskan, PH seharusnya menyatakan perubahan struktural segera untuk naikkan nilai ringgit berbanding mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menangani kos sara hidup ketika ini.

“25 Jun lalu minta kerajaan selesaikan isu subsidi atau mereka (PH) akan turun ke jalan, 27 Jun minta tambah subsidi, 17 Julai (semalam) ulang janji bahawa ‘hari ini menang, esok minyak turun’. Nak turun minyak macam mana kalau bukan subsidi, kan?

“Bila kerajaan tunjukkan bahawa subsidi dan bantuan kewangan sebenarnya pada tahap paling tinggi dalam sejarah, tiba-tiba cakap ‘kenapa bergantung kepada subsidi? Tiba-tiba tukar tiang gol bertanya kenapa hanya ada subsidi dan menuduh kerajaan tak laksana perubahan struktural untuk membantu kos sara hidup.

“PH sendiri keliru apa sebenarnya dasar mereka. Bila dah buat keputusan, apa sebenarnya pegangan mereka, cakaplah,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu Shahril turut mempersoalkan apakah formula perubahan struktural yang mahu dilakukan PH seterusnya boleh menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat.

“Bagaimana hendak jadi juara perubahan struktural kalau cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun dimansuhkan dan kebergantungan kepada sumber minyak dan gas ditingkatkan?

“PH patut jelaskan, adakah perubahan struktural mereka untuk naikkan RM (Ringgit Malaysia) termasuk menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah yang sama seperti Bank Pusat lain dengan menaikkan kadar faedah lebih agresif setaraf dengan US Federal Reserve? Adakah PH berpandangan kenaikan OPR 0.5 peratus setakat ini tak cukup dan terlalu lambat untuk mengejar US Fed dan Bank Pusat lain? Kalau ya, cakap lah.

“(Adakah) Menambat mata wang ringgit seperti idea Tun Mahathir? Kalau ya, cakap lah. (Adakah) Belanjakan lebih banyak rizab antarabangsa kita untuk ‘support’ nilai ringgit? Kalau ya, cakap lah,” sindirnya.

Sementara itu Shahril berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada memberi contoh mengenai nilai ringgit berbanding dolar Amerika sebagai satu perkara yang perlu perubahan struktural.

“Selain hal ringgit, mungkin PH hendak cadangkan ambil lebih banyak dividen Petronas? Sebab sudah ada sejarah mereka mengambil sejumlah RM54 bilion dalam masa setahun, iaitu paling tinggi dalam sejarah negara. Mungkin itu perubahan struktural yang dimaksudkan?

“Atau mungkin boleh jual aset lagi supaya kerajaan dapat ‘cash’ untuk tambah subsidi. Tapi PH tak nak bergantung kepada subsidi lagi kan,” katanya.