Kes pengurus bank seleweng jutaan ringgit wang pelanggan disiasat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menafikan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago yang mendakwa tiada tindakan diambil berkaitan laporan penyelewengan jutaan ringgit wang pelanggan oleh pegawai sebuah bank tempatan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejurus menerima laporan pada 31 Januari lalu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan iaitu kesalah pecah amanah jenayah berhubung penyelewengan wang pelanggan oleh seorang pengurus cawangan bank tempatan di Selangor.

"Selain itu siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan oleh Bahagian Penggubahan Wang Haram, dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Media tempatan pada Ahad melaporkan Charles Santiago membidas tindakan bank terbabit yang bertindak mendiamkan diri berhubung kes penipuan didakwa membabitkan jutaan ringgit milik pemegang akaun premium.

Charles Santiago dilaporkan berkata, transaksi pengeluaran wang berkenaan dilakukan oleh salah seorang pegawai bank terbabit tanpa pengetahun pemilik akaun menunjukkan kuranngya proses semak dan imbang.

Mengulas lanjut Sasikala berkata, siasatan masih berjalan dan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah berkenaan.

"Pada peringkat ini siasatan polis masih berjalan dan setelah selesai kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia untuk tindakan lanjut," ujarnya.