Pas belum buat keputusan guna logo sendiri: Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KAMPAR - Pas belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun penggunaan logo selain dari Pas ketika pilihan raya bukan sesuatu yang baharu.

Menurutnya, Pas juga masih bersama Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kerjasama dengan mana-mana pihak.

"Belum diputuskan lagi...tengok keadaan macam mana dan perkara itu bukan sesuatu yang pelik sangat. Tahun 1974 kita pernah guna (logo) Barisan Nasional (BN). Kemudian kita guna logo kita.

"Bila tiba masanya akan ditentukan, kalau boleh guna (logo sendiri) kita akan teliti," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Hotel Grand Kampar, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 25 Jun lalu bahawa Pas mungkin dibenar menggunakan logo sendiri pada PRU15 sebagai antara strategi meraih sokongan.

Pada 24 Jun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam satu kenyataan membayangkan kemungkinan Pas akan menggunakan logo sendiri pada PRU15.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, cadangan penggunaan logo sendiri itu bukan satu usaha untuk merenggangkan hubungan Pas di dalam PN.

"Ketika ini Pas bersama PN, pada masa sama kita tak menolak kerjasama mana-mana pihak lain.

"Kita masih bersama dalam konsep Muafakat Nasional demi kepentingan nasional menyatukan rakyat pelbagai kaum," katanya.