Pas Perak pelawa Tajuddin bertanding tiket PN

Dari kiri: Tajuddin, Razman
Dari kiri: Tajuddin, Razman
A
A
A

IPOH - Pas Perak mempelawa Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu boleh mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU15 nanti.

"Sekarang ini telah diuar-uarkan bahawa PRU15 akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Sekiranya perkara ini benar berlaku dan Datuk Seri Tajuddin tidak diberikan tempat dalam BN, maka Pas Perak sedia menawarkan kerusi.

"Beliau boleh bertanding atas tiket PN mewakili Pas jika Pasir Salak itu menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video pendek yang dimuat naik di Facebook rasminya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak itu menegaskan, pelawaan tersebut dibuat bukan bermaksud mahu mencampuri urusan parti-parti lain, sebaliknya.mengambil kira situasi semasa yang mahu agar PRU diadakan segera.

"Kenyataan bahawa PRU akan berlaku pada bila-bila masa bukan daripada pemimpin-pemimpin kluster mahkamah sahaja tetapi kenyataan sama juga dikeluarkan oleh perdana menteri sendiri," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO berkuat kuasa 21 Jun lalu atas alasan sikap beliau yang mengkritik parti.

Sebelum ini Tajuddin turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan beliau juga dilihat kerap kali bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.