Pelantikan Isham isi kekosongan ditinggalkan Tajuddin: Ahmad Maslan

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pelantikan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu untuk bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

“Oleh kerana Datuk Seri Tajuddin dihentikan pelantikannya untuk memberi peluang beliau bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, maka tempat yang kosong itu telah dilantik Isham Jalil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status kelulusan pindaan perlembagaan parti itu yang dibuat baru-baru ini, Ahmad Maslan berkata, beliau berharap agar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memberikan keputusan segera berkenaan perkara tersebut.

“Segala dokumen tambahan yang diminta oleh ROS telah saya hantar dan telah kita siapkan. Kita juga telah menulis surat secara rasmi dan kita berharap agar ROS meluluskan kerana apa yang kita lakukan itu telah mengikut segala prosedur ditetapkan.

“Sementara itu kita tahu MCA telah membuat pindaan perlembagaan yang lebih kurang sama. Beerti sudah ada kes duluan yang membolehkan ROS membuat keputusan segera,” ujarnya.

Perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) Mei lalu telah sebulat suara meluluskan pindaan perlembagaan yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Dalam pada itu, Isham menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat melahirkan penghargaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana kepercayaan diberikan untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli MKT.

“Tidak lupa juga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberikan bimbingan, sokongan dan dorongan kepada saya selama ini. Saya akan terus berjuang untuk kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dan negara dan masa depan kita semua,” ujarnya.