Tajuddin digugur ahli MKT UMNO

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datu Seri Ahmad Maslan dilapor merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu atas khidmatnya sebagai ahli MKT.

“Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri sebagai ahli MKT UMNO,” katanya dalam surat bertarikh 21 Jun lapor FMT.

Ahmad bagaimanapun tidak menyatakan sebab Tajuddin dipecat dalam surat itu.

Ahli Parlimen Pontian itu turut berharap agar Tajuddin akan meneruskan khidmatnya sebagai ahli parti yang komited dan merakamkan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai duta besar.

Tajuddin sebelum ini pernah dipecat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada Mei tahun lalu, beberapa hari selepas kenyataannya berhubung kemalangan LRT yang mengundang kritikan orang ramai.