Permohonan Willie Mongin sertai PBB perlu pandangan 3 ADUN

Abdul Karim Rahman Hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah
A
A
A

LUNDU - Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendengar pandangan daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo sebelum membuat apa-apa ketetapan berhubung permohonan ahli Parlimen kawasan berkenaan Datuk Willie Mongin untuk menyertai PBB.

Naib Presiden PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pandangan daripada Datuk Roland Sagah Wee Inn (ADUN Tarat), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serembu) akan diambil kira sebelum perkara itu diputuskan.

"Mereka (Majlis Tertinggi) juga perlu berunding dengan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat kaum Bidayuh di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan Miss Tourism International Friendship Pathway pada Rabu.

Isnin lepas, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjadi ahli parti Bersatu, telah mengesahkan bahawa beliau telah menghantar permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan lepas, dengan mendakwa bahawa selama ini beliau "secara teknikal” diletakkan dalam parti Bersatu bagi menyokong kerajaan semasa.

Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket PKR, namun diketepikan oleh parti itu selepas beliau bersama beberapa Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa "Langkah Sheraton”, sebelum menyertai Bersatu. -Bernama