UMNO Johor tidak pernah menolak Onn Hafiz sebagai MB

Khaled Nordin (dua dari kiri) dan Onn Hafiz (tengah) menyerahkan sumbangan kepada bakal haji ketika Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang pada malam Isnin.
Khaled Nordin (dua dari kiri) dan Onn Hafiz (tengah) menyerahkan sumbangan kepada bakal haji ketika Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang pada malam Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - UMNO Johor tidak pernah menolak Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Seri Mohammad Hasni selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu berkenaan tidak timbul sama sekali dan parti tersebut di Johor tidak berbelah bahagi menyokong kepimpinan Onn Hafiz untuk menerajui kerajaan negeri.

"Tidak pernah ada penolakan tapi UMNO Pasir Gudang beri sokongan penuh kepada kepimpinan Onn Hafiz dan apa yang penting kerajaan sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

"Sokongan ini supaya beliau berjaya pimpin negeri Johor dan tingkat kedudukan kecemerlangan Johor. Kita di Pasir Gudang beri sokongan kepada Menteri Besar Johor," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang di sini pada malam Isnin.

Mohamed Khaled mengulas sama ada Onn Hafiz ketika ini menerima sokongan penuh daripada UMNO Johor sebagai Menteri Besar Johor selepas dakwaan UMNO negeri tidak memberi sokongan kepadanya semasa di peringkat awal menjawat jawatan itu.

Mengenai cabaran sama ada BN dan UMNO mampu mengekalkan momentum kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohamed Khaled yakin gabungan tersebut akan dapat menarik sokongan rakyat.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, apa yang penting kerajaan dapat berkhidmat dan menyelesaikan semua masalah dihadapi rakyat.

"Soal PRU bila itu hak Perdana Menteri, tetapi sebagai pemimpin parti kita tentunya ada perkiraan dan pertimbangan yang dirasakan sesuai atau tidak sesuai mengadakan PRU. Sekarang momentum memang ada tapi kadang-kadang bukan asas (menang PRU) pada momentum sahaja.

"Kita yakin kekalkan momentum bergantung pada prestasi kerajaan negeri dan Pusat, kalau perkhidmatan yang diberi dijaga dengan baik mungkin momentum itu berpanjangan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU15, beliau berkata, keputusan tersebut akan ditentukan pucuk pimpinan parti.