PRU15: Dzulkefly mahu calon muda bertanding di Parlimen Kuala Selangor

Dzulkefly (dua, kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Jamuan Terbuka Aidilfitri di Kampung Kuantan, pada petang Ahad.
Dzulkefly (dua, kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Jamuan Terbuka Aidilfitri di Kampung Kuantan, pada petang Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dzulkefly berkata, beliau berhasrat demikian memandangkan sudah berkhidmat selama dua penggal sebagai ahli Parlimen Kuala Selangor iaitu selepas PRU12 dan PRU14.

"Calon muda perlu diketengahkan untuk menjadi pemimpin pada masa depan. Jika diizinkan, secara jujurnya saya mahu berundur dan cenderung memberi laluan kepada muka baharu pada pilihan raya akan datang," katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Terbuka Aidilfitri di Kampung Kuantan, pada petang Ahad.

Menurut beliau yang merupakan Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), keputusan mengenai calon diserahkan kepada pucuk pimpinan parti tersebut.

Kata Dzulkefly, Amanah dijangka meletakkan calon di kerusi itu bagi mempertahankan Parlimen Kuala Selangor pada PRU15.

"Calon diketengahkan Amanah harus bersedia sepenuhnya untuk menyandang kerusi ditandingi," katanya.