Bersatu belum putuskan senarai calon PRU15: Hamzah

Hamzah (tiga tiga kiri) beramah mesra dengan kakitangan Kementerian Dalam Negeri pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri 2022 di PICC pada Rabu. - Foto Bernama
Hamzah (tiga tiga kiri) beramah mesra dengan kakitangan Kementerian Dalam Negeri pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri 2022 di PICC pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Belum ada persetujuan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Sebenarnya tidak ada lagi persetujuan di peringkat MPT dan saya tidak mahu membangkitkan isu ini buat masa sekarang sehingga suatu perbincangan semula dibuat," katanya.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Bersatu Terengganu meletakkan 10 calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

"Ini perkara biasa. Memang kadang-kadang ada orang yang mendahului parti dalam membuat keputusan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Rabu.

Bersatu Terengganu sebelum itu mengumumkan untuk meletakkan calonnya di 10 kerusi DUN yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dan dua kerusi Parlimen iaitu di Besut dan Hulu Terengganu. - Bernama