Runtuhan kuari: Operasi pencarian mungkin dihentikan

Usaha mencari mangsa mengambil masa terlalu lama disebabkan beberapa faktor taktikal termasuk saiz batu yang terlalu besar. Foto Bernama
Usaha mencari mangsa mengambil masa terlalu lama disebabkan beberapa faktor taktikal termasuk saiz batu yang terlalu besar. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mendapatkan justifikasi baharu terhadap operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini, bulan lalu.

Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, langkah itu bagi menilai kewajaran sama ada operasi berkenaan perlu diteruskan atau boleh ditamatkan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira termasuk penilaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aspek perundangan sebagai justifikasi dalam kes berkenaan.

"Berdasarkan kepada peraturan-peraturan dan kemungkinan, operasi ini boleh ditutup, tetapi kita perlu melihat daripada pelbagai aspek dahulu terutama perundangan.

"Apabila nak mengisytiharkan kehilangan seseorang dalam insiden ini, kita perlu merujuk kepada peraturan-peraturan tertentu yang ditetapkan.

"Dalam kes ini, kita akan adakan perbincangan dengan polis selaku komander operasi untuk mendapatkan jawapan dengan memberikan justifikasi mengapa operasi mencari mangsa perlu ditutup dan kenapa ia perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran di sebuah premis hiburan di sini pada Selasa.

Azmi (dua dari kiri) melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran di Ipoh.
Azmi (dua dari kiri) melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran di Ipoh.

Azmi berkata, kerja-kerja menyelamat yang dilakukan di lokasi kejadian masih diteruskan sehingga kini.

Bagaimanapun katanya, operasi terbabit diperlahankan selepas tidak menemui petunjuk yang membawa kepada penemuan mangsa meskipun telah memasuki hampir dua bulan operasi.

"Secara dasarnya pemilik kuari tersebut masih menjalankan kerja-kerja mencari mangsa.

"Di pihak bomba, walaupun operasi telah dikendurkan, tidak lagi sehebat peringkat permulaan dahulu, tetapi kita masih menempatkan seorang atau dua anggota setiap hari di lokasi," katanya.

Beliau turut menegaskan, usaha mencari mangsa mengambil masa terlalu lama disebabkan beberapa faktor taktikal termasuk saiz batu yang terlalu besar.

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi membantu operasi berkenaan antaranya melibatkan kepakaran pelbagai agensi termasuk pakar geofizik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).

"Kepakaran semua pihak ini telah diterjemahkan dalam operasi berkenaan dengan membuat ketetapan di lokasi mana mangsa dijangka berada.

"Namun malangnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemui. Bukan setakat mangsa, malah jentera yang turut tertimbus juga gagal dikesan," katanya.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, tertimbus.

Tragedi sekitar jam 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.