Anwar tak berpihak sesiapa: Rafizi

Rafizi ketika menyampaikan ucapan dan menjawab persoalan hadirin yang hadir pada majlis Perjumpaan Yakini Rakyat Bersama Rafizi Ramli di Dewan Fook Tat Chee, Gunung Rapat, di sini pada Ahad.
Rafizi ketika menyampaikan ucapan dan menjawab persoalan hadirin yang hadir pada majlis Perjumpaan Yakini Rakyat Bersama Rafizi Ramli di Dewan Fook Tat Chee, Gunung Rapat, di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Naib Presiden Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, yakin Presiden itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memihak kepada mana-mana individu atau kumpulan yang bertanding merebut jawatan di dalam pemilihan parti ketika ini.

Beliau berkata, perkara itu hanya persepsi dan tafsiran pihak tertentu yang melihat kenyataan Anwar seolah-olah menyokong pesaingnya dalam merebut jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail.

Menurutnya, kempen pemilihan parti ketika ini banyak tertumpu soal prestasi PKR dalam pilihan raya umum lalu dan Anwar mempunyai tanggungjawab untuk memberikan beberapa penjelasan.

"Saya faham kadang-kadang nampak macam dia membela Saifuddin tapi kalau kita jadi presiden parti pun kita juga kena menjelaskan kenapa prestasi itu jadi begitu begini walaupun sebenarnya strategi dan perancangan itu dijalankan oleh kumpulan yang menyokong atau yang sepatutnya membantu presiden.

"Hanya kerana Saifuddin yang merupakan pasukan utama melaksanakan strategi parti itu sebelum ini itu tidak bermakna dia (Anwar) membela Saifuddin," katanya kepada pemberita selepas majlis Perjumpaan Yakini Rakyat Bersama Rafizi Ramli di Dewan Fook Tat Chee, Gunung Rapat, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, semua keadaan itu bergantung kepada tafsiran masing-masing dalam membaca reaksi seseorang termasuk beberapa tanggapan menganggapnya sebagai seorang yang kasar.

Ditanya sama ada beliau mampu menambah kerusi untuk PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Rafizi berkata, perkara itu bergantung kepada rundingan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, bagaimanapun rundingan kerusi pada kali ini akan lebih mudah kerana hanya melibatkan parti-parti di dalam PH sahaja, tidak seperti PRU14 lalu kerana membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Dalam parti, anggota tahu bahawa saya yang merundingkan kerusi seluruh negara pada PRU yang lepas. Kalau pun saya menang ataupun kalah, parti tetap akan menggunakan kemahiran saya berunding hasil daripada pengalaman memuktamadkan rundingan kerusi dengan PH.

"Segala rundingan adalah berdasarkan kepada parti mana yang boleh mewakili PH untuk menang. Kita tengok kedudukan kalau contohnya PKR merupakan parti yang lebih kuat di bawah, sudah tentu PKR berpeluang untuk mendapat lebih kerusi dan sebaliknya," katanya.

Antara yang dilihat hadir Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing; ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; ADUN Teja, Sandrea Ng; ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan sebelum ini mengumumkan akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan yang berlangsung ketika ini.

Beliau akan bersaing dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.