'Guan Eng pelawa saya jawatan bukan Rafizi bantu' - Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan jawatan Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang yang disandangnya pada tahun 2017 merupakan pelawaan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng.

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden PKR berkata, dakwaan Rafizi Ramli yang menyatakan telah memberi jawatan tersebut kepadanya adalah tidak benar ekoran Naib Presiden PKR itu tidak mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng.

"Guan Eng mempelawa saya untuk berkhidmat di sana dan dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri bagi memperbetulkan persepsi masyarakat terutamanya berkaitan isu Melayu dan Islam terhadap kerajaan negeri itu.

“Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang.

"Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Lim Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri," katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Terdahulu media melaporkan, Rafizi mendakwa telah mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan Pulau Pinang pada 2017 untuk melantik Saifuddin Nasution sebagai penasihat strategik kepada Guan Eng yang merupakan ketua menteri ketika itu.

Rafizi turut mendakwa, faktor beliau ‘bercuti’ daripada arena politik adalah kerana membantu Saifuddin Nasution yang dikatakan ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam pada itu Saifuddin Nasution menjelaskan, beliau telah memenuhi jemputan syarahan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan institusi pendidikan di Jakarta, Indonesia untuk membiayai keperluan seisi keluarga setelah kalah pada PRU13.

“Saya tewas kerusi Kulim Bandar Baharu pada pilihan raya 2013 dan memilih terus kekal di dalam PKR dengan kedudukan sebagai Setiausaha Agung parti yang disandang sejak 2010 menggantikan Datuk Salahuddin Hashim.

“Pada masa yang sama untuk menyara kehidupan, saya berulang-alik hampir setiap minggu ke Jakarta memenuhi undangan syarahan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan institusi pendidikan di sana.

“Bayaran upahnya tidaklah besar namun mencukupi untuk membiayai keperluan saya seisi keluarga dengan seorang isteri dan lima anak. Saya tidak menetap di Jakarta,” katanya.

Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, beliau turut terlibat membantu parti dalam kerja-kerja persediaan pilihan raya, mewakili parti dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan menjelajah seluruh negara bagi memenuhi undangan ahli selepas pemilihan PKR 2014.

“Keadaan ini berterusan sehingga 2015, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali dipenjarakan setelah rayuannya ditolak dalam kes fitnah 2.0 dan pada tahun sama, Pakatan Rakyat terbubar dengan penarikan diri Pas pada muktamar tahunannya.

“Saya mula mengurangkan tugasan di Jakarta untuk memberi lebih tumpuan kepada tugasan parti dan ikut terlibat membantu proses rundingan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam penagihan kerusi, persiapan manifesto, siri jelajah kempen ke seluruh negara.

“Rafizi dengan jawatan Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Ahli Parlimen Pandan pula ketika ini sedang menghadapi beberapa kes mahkamah, termasuklah NFC yang akhirnya Dr Wan Azizah melantik saya semula sebagai Setiausaha Agung pada 26 November 2016,” jelasnya.

Saifuddin Nasution berkata, beliau menganggap percubaan Rafizi menjawab isu ‘bercuti’ suatu usaha yang baik dan sentiasa menghormatinya sebagai seorang sahabat seperjuangan.

"Saya yakin pertandingan Timbalan Presiden ini tidak akan mencarikkan silaturahim," katanya.