'Khemah Besar' pembangkang perlu berjiwa besar: Salahuddin

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU- Pimpinan parti pihak pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan 'Khemah Besar' sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kesepakatan barisan pembangkang cukup penting bagi PRU15 kelak dengan hanya satu musuh utama iaitu Barisan Nasional ( BN).

"Kita perlu ada kesabaran dan semangat, sebab masih ada lagi masa untuk realisasikan 'Khemah Besar'. Walaupun sebelum ini ketika Pilihan Raya Negeri ( PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, kita tidak boleh capai 100 peratus, tetapi itu tidak bermakna kita tidak laksanakan 'Khemah Besar'.

"Semua parti setuju dengan deklarasi konsep 'Khemah Besar' yang mana ia merupakan satu resolusi Port Dickson melibatkan Amanah, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada April tahun lalu. Keputusan deklarasi Port Dickson boleh direalisasikan. Jangan putus asa di tengah jalan" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sebuah hotel di Johor Bahru pada Rabu.

Salahuddin ( tengah) beramah mesra dengan pengamal media di Johor pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel pada Rabu.
Salahuddin ( tengah) beramah mesra dengan pengamal media di Johor pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel pada Rabu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan pada Isnin lalu berkata, pendekatan 'Khemah Besar' yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau Pas.

Jelasnya juga, Amanah menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan 'Khemah Besar' sebagai pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15, namun kefahaman tepat perlu sebelum perbincangan diadakan.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menambah Memorundum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan banyak kebaikan kepada rakyat yang mahukan kestabilan politik.

"Walaupun MoU terbabit tidak disambung, tetapi perlu dilihat beberapa pindaan perlembangaan dapat dibuat dan tidak mungkin berlaku tanpa MoU tersebut. Antaranya membenarkan undi18 yang membuka peluang kepada pengundi baharu.

"Selain itu akta lompat parti juga dapat diwujudkan yang mana sidang khas akan diadakan pada bulan Mei nanti. Akta ini cukup penting untuk PRU15 kelak," katanya.