UMNO Sabak Bernam mahu sapu bersih kerusi Parlimen, DUN

Abd Rahman (kiri) menyampaikan duit raya kepada salah seorang penerima pada Majlis Khatam Al-Quran, Berbuka Puasa dan Penyampaian Aidilfitri kepada Anak Yatim dan Ibu Tunggal Muda di Grand Sanak Hotel and Convention Center Sabak Bernam pada Selasa.
Abd Rahman (kiri) menyampaikan duit raya kepada salah seorang penerima pada Majlis Khatam Al-Quran, Berbuka Puasa dan Penyampaian Aidilfitri kepada Anak Yatim dan Ibu Tunggal Muda di Grand Sanak Hotel and Convention Center Sabak Bernam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Sabak Bernam yakin parti itu akan terus mengekalkan kerusi Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar serta merampas DUN Sabak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, sasaran UMNO bahagian itu untuk memperoleh kemenangan penuh bagi meraih keyakinan dan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, rakyat dan pengundi di Parlimen Sabak Bernam kecewa apabila Ahli Parlimennya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang bertanding atas logo BN yang memenangi PRU-14 lalu bertindak keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita yakin dan percaya dengan kerjasama terbaik dalam keadaan situasi politik yang memihak kepada BN, kerusi Parlimen Sabak Bernam dan Sungai Air Tawar akan kita kekalkan, manakala DUN Sabak dapat dirampas daripada Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam Al-Quran, Berbuka Puasa dan Penyampaian Aidilfitri kepada Anak Yatim dan Ibu Tunggal Muda di Grand Sabak Hotel and Convention Center Sabak Bernam pada Selasa.

Program itu anjuran Puteri UMNO Sabak Bernam dengan kerjasama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Sabak Bernam.

Mengulas mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN), Abd Rahman yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor berkata, kerjasama antara dua parti itu di peringkat pusat semakin longgar, namun di Selangor UMNO masih berharap hubungan politik ini dapat dikekalkan sekali gus merampas pentadbiran di negeri ini.

Jelas beliau, di peringkat UMNO Bahagian Sabak Bernam tiada sebarang permasalahan dengan Pas, namun menunggu apa jua arahan dan keputusan diputuskan di peringkat tertinggi parti.

"Bagaimanapun dalam keadaan sekarang ini, kita bergerak secara solo di peringkat bahagian, namun tidak mengetepikan hubungan dengan MN," jelas beliau.

Beliau memberitahu, sebagai ahli UMNO yang taat dan setia kepada perjuangan, mereka telah dilatih kepimpinan terdahulu untuk patuh kepada parti dan pemimpin untuk kebaikan rakyat dan negara.

"Kita akan ikut apa jua keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga UMNO Selangor kerana kami akan akur sama ada kita bersama MN atau pun tidak," katanya.