Warga asing punca kemalangan empat kenderaan

Pejalan kaki tersebut tular selepas satu video memaparkan cubaannya menyelamatkan diri dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok. (Gambar kecil: Sarifudin)
Pejalan kaki tersebut tular selepas satu video memaparkan cubaannya menyelamatkan diri dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok. (Gambar kecil: Sarifudin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat melintas secara melulu, seorang lelaki warga China menjadi penyebab kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 35 Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, bimbang diapa-apakan oleh orang awam, pejalan kaki tersebut cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam sebuah Perodua Myvi yang berhenti di bahu jalan.

Menurutnya, lelaki tersebut tular selepas satu video dimuat naik di TikTok, memaparkan cubaannya masuk ke dalam Perodua Myvi tersebut gagal apabila pemandu kereta berkenaan memecut dan mengheretnya yang sedang berpaut pada pembuka pintu belakang sisi kanan kenderaan itu.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 17 April jam lebih kurang 2.15 pagi di KM 35 MRR2 dari arah Bulatan Billion ke Pekan Sungai Besi berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Jalan Imbi, melibatkan Proton Exora dam Toyota Vios dan dua buah motosikal jenis Yamaha, dan Kawasaki.

"Semasa pemandu Proton Exora seorang wanita berumur 44 tahun memandu di lorong tengah telah membrek secara mengejut kerana mengelak seorang lelaki warganegara China yang tiba-tiba melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah belakang memberhentikan kenderaan daripada melanggar Proton Exora tersebut tetapi dilanggar oleh sebuah motosikal jenis Yamaha yang gagal mengelak.

"Sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang seorang lelaki berusia 26 tahun kemudian tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Toyota Vios tersebut menyebabkan mangsa terbabas lalu melanggar Proton Exora berkenaan.

"Penunggang motosikal jenis Kawasaki yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 50 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal Yamaha di lorong kanan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat kemalangan, penunggang motosikal Yamaha mengalami kecederaan luka di bahagian muka, dan penunggang motosikal Kawasaki mengalami kecederaan patah kaki kiri," katanya.

Sarifudin berkata, pejalan kaki tersebut dibawa oleh anggota peronda MPV ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi tujuan dokumentasi kerana mendakwa diancam oleh orang awam semasa berada di lokasi kemalangan.

Katanya, kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1978.