Damok, Danial azam aksi cemerlang di Estoril

Syarifuddin
Syarifuddin
A
A
A

PELUMBA negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok berazam untuk mempamerkan aksi cemerlang pada Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia 2022 di Litar Estoril, Portugal Mei depan.

Syarifuddin turut berazam untuk berada dalam kelompok lima pelumba teratas secara keseluruhan musim ini selain lebih banyak menaiki podium berbanding musim lalu.

Pelumba kelahiran Selangor berusia 21 tahun itu berkata, ketika ini dia lebih menumpukan kepada persediaan jentera yang akan digunakannya pada kejuaraan berkenaan.

“Kini saya memberikan fokus untuk set-up (melakukan persediaan) motosikal (jentera) yang akan digunakan nanti.

“Selain fokus untuk set-up motosikal, saya juga bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk merealisasikan podium yang saya inginkan,” katanya pada sidang media dalam talian pada Jumaat.

Untuk rekod, Syarifuddin yang memulakan musim ketiga di kejuaraan berkenaan turut berharap dapat melakukan persediaan lebih baik kali ini.

Dia berharap dapat melakukan set-up yang lebih baik pada ujian pra-musim di Valencia, Sepanyol, Isnin depan.

Mengulas mengenai persaingannya dengan pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril, Syarifuddin berkata, dia tidak akan memberi laluan mudah buat pelumba berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya agak tercabar kerana kawan saya sendiri adalah lawan saya pada CEV kali ini. Saya akan pastikan setiap perlumbaan, saya akan berada di depan Danial.

“Bagaimanapun, jika dia (Danial) inginkan pertolongan dalam latihan, saya sentiasa bersedia untuk menolong,” katanya.

Sementara itu, Danial Syahmi berkata, dia berazam untuk melakukan yang terbaik pada saingan CEV kali ini walaupun mengakui sedang melakukan set-up terbaik terhadap jenteranya ketika ini.

Malah, pelumba berusia 19 tahun yang berlumba untuk pasukan Junior Talent Team itu turut menyasarkan untuk berada dalam kelompok 15 pelumba terbaik pada perlumbaan kali ini.

“Saya hanya akan uji jentera baharu ini di Valencia. Untuk saya dapat keselesaan, saya memerlukan dua hingga tiga sesi lagi.

“Lagi pun, bagi saya Moto3 ini susah nak tunggang kerana ia lebih tinggi dan laju," katanya.