Aminuddin sah berpindah ke Cabang Port Dickson

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah berpindah keahliannya ke Cabang Port Dickson sejak akhir bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M Ravi yang juga merupakan Ketua Cabang Port Dickson.

Menurut Ravi, beliau mendapat makluman mengenai perkara itu ketika memeriksa keahlian cabangnya baru-baru ini.

"Saya tengok ada nama Aminuddin dan telah hubungi pejabat PKR Pusat yang mengesahkan keahlian Aminuddin sudah bertukar ke Port Dickson.

"Beliau nak tukar itu hak dia. Tapi saya tak tahu apa tujuan tukar ke Cabang Port Dickson yang mana sebelum ini Aminuddin dari Cabang Seremban lompat ke Cabang Tampin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ujarnya, kemungkinan Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan itu ada sebab tersendiri bertukar keahlian di Port Dickson tetapi sebagai rakan dalam parti turut tertanya-tanya mengenainya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar merupakan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 yang mana beliau juga merupakan Ketua Cabang Tampin sejak tahun 2018.

Beliau sebelum itu merupakan Naib Ketua Cabang PKR Seremban.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan pemilihan parti itu bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke tarikh baharu bermula 13 hingga 18 Mei ini.

Hari pencalonan bagi peringkat cabang ditetapkan pada 8 hingga 10 April depan manakala pencalonan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat pada 11 April ini.

Aminuddin berasal dari Kampung Pachitan, Port Dickson juga antara yang disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sementara itu Sinar Harian cuba menghubungi Aminuddin untuk mendapatkan maklumat lanjut, namun gagal.