Star setuju terima KDM sertai GRS

Jeffrey (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Keluarga Malaysia 'Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan' di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Jeffrey (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Keluarga Malaysia 'Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan' di Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bersetuju menerima permohonan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu harus mendapat persetujuan daripada rakan parti lain dalam gabungan itu.

"Setuju (KDM sertai GRS). Bagi saya tiada masalah, tetapi kita kena dengar yang lain juga," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Keluarga Malaysia 'Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan' di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tidak mahu tergesa-gesa untuk menerima parti baharu dalam GRS.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah percaya dengan kemasukan parti yang dipimpin bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony itu akan memperkukuhkan lagi kerajaan GRS.

"Saya percaya ini akan dibincangkan dengan secepat mungkin dan saya percaya juga ada kebaikannya untuk menerima permohonan itu kerana ia juga akan memperkukuhkan kerajaan GRS.

"Jadi saya melihat ini sebagai satu yang boleh memperkuatkan kerajaan kerana kerajaan ingin melihat kesatuan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti (dalam GRS)," katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan Peter yang juga protem presiden parti itu mengumumkan KDM sebagai parti baharu yang ditubuhkan dan berhasrat untuk menyertai GRS selepas gabungan itu didaftarkan secara rasmi kelak.

Artikel Berkaitan: