Tagih hutang punca lelaki dijerut hingga mati

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Tagih hutang lebih RM3,000 punca seorang lelaki dijerut sehingga mati pada Selasa lalu sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak, Jalan Kionsom, Inanam, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, perkara itu didedahkan oleh suspek sendiri yang mengaku mencekik dan menjerut leher mangsa sebelum meninggalkannya di kawasan semak berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendedahkan suspek mengaku telah mencekik dan menjerut mangsa hingga mati, sebelum meninggalkan dan mengheretnya keluar dari kereta serta meninggalkan di kawasan semak di Inanam Lama.

"Punca atau motif kejadian adalah kerana suspek marah apabila mangsa menagih hutang lebih RM3,000 daripadanya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinanalu di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung perkembangan kematian seorang lelaki yang dibunuh seorang tukang cat kenderaan di Inanam pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, pada awalnya suspek bersetuju untuk berbincang namun ketika dalam perbincangan, berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

"Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sehingga menimbulkan kemarahan kepada suspek lalu bertindak mencekik mangsa sehingga mangsa tidak berdaya sebelum menjerutnya menggunakan kabel yang dibawa di dalam kenderaan," katanya.

Diminta mengulas tujuan mangsa memaklumkan lokasinya ketika itu, Mohd Zaidi berkata, mangsa mungkin rasa terancam lalu bertindak mengirimkan lokasinya ketika itu kepada bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya suspek dan mangsa menaiki sebuah kenderaan dan keluar dari bengkel untuk berbincang di sesuatu tempat berkaitan dengan masalah hutang itu.

"Mungkin ketika itu mangsa merasa dirinya terancam lalu mengirimkan lokasinya kepada bapanya yang menunggunya di bengkel kereta suspek," katanya.

Sehubungan itu, dengan tertangkapnya suspek, Mohd Zaidi memaklumkan kes itu sudah selesai sepenuhnya.

"Suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan keputusan ujian air kencing didapati negatif," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang tukang cat kereta berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom, pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 25 tahun ditemui isteri dan ahli keluarganya dalam keadan tertiarap serta terdapat kesan jerutan pada lehernya.