Tiada sebab ADUN Bersatu tarik sokongan

Mohd Firdaus Ahmad
Mohd Firdaus Ahmad
A
A
A
ALOR SETAR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak mungkin akan berlaku kerana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai sokongan kuat daripada parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, enam ADUN daripada Bersatu juga memberikan sokongan kepada kerajaan negeri dan mereka tidak mempunyai sebab kukuh untuk menarik sokongan tersebut.

Menurutnya, semua parti yang berada di dalam PN sudah mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada.

"Sekarang Bersatu berada di dalam PN. semua ADUN Bersatu di Kedah ada enam orang dan memang semua duduk bersama dengan PN. Jadi wakil rakyat Pas ada 15 orang, Bersatu enam orang dan UMNO ada dua orang (beri sokongan kepada kerajaan negeri).

"UMNO tidak duduk dengan Bersatu atau PN dan kalau dua orang ini keluar, namun (pentadbiran) masih lagi kuat. Jika kata ada PRN tidak mungkin sebab PN masih lagi kuat (di Kedah)," katanya pada sidang akhbar di Perpustakaan Awam Negeri Kedah, dekat sini pada Isnin.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan Kedah berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.

Mohd Firdaus (tiga kiri) menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah pada Isnin.
Mohd Firdaus (tiga kiri) menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah pada Isnin.

Turut hadir ialah Pengerusi SWCorp Malaysia, Datuk Rizalman Mokhtar.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, Kerajaan Kedah berada pada prestasi yang baik untuk terus membangunkan ekonomi dan perkara tersebut wajar untuk dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah pemerintahan Menteri Besar sekarang, saya rasa apa yang dilakukan cukup baik, kemasukan pelaburan untuk negeri Kedah antara yang tertinggi (di Malaysia).

"Ketika ini, pencapaian Kedah amat memberangsangkan. Menteri Besar dan barisan Exco boleh kita banggakan dan kita puji di mana semuanya bekerja di bawah satu bumbung dan bersepakat," ujarnya.

Pada Ahad, media melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mendakwa ada gerakan untuk menggugat kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi berdasarkan serangan yang dibuat oleh segelintir pihak sejak akhir-akhir ini.