'Kenapa dulu tak ambil tindakan'

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

TAPAH - Dakwaan mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menipu tarikh keahlian kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti hanyalah satu bentuk serangan politik semata-mata.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana dakwaan dilemparkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dibuat tanpa disokong fakta dan tindakan berkaitan.

Menurutnya, sebagai individu yang pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz wajar mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku dakwaan seperti itu di dalam parti sebelum ini.

"Saya fikir jika benar berlaku, tentunya beliau akan mengambil tindakan pada ketika itu kerana beliau juga adalah timbalan presiden parti sebelum pemilihan diadakan.

"Tetapi jika tiada tindakan, itu maknanya tiadalah yang berlaku, jadi dakwaan beliau itu mungkin sekadar dakwaan politik sahaja," katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini pada Ahad.

Laporan sebuah akhbar pada Ahad mendedahkan bahawa terdapat ahli Bersatu menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti tersebut sehingga menimbulkan masalah termasuk melantik pemimpin yang tidak ada pengalaman.

Tindakan itu, dakwa Mukhriz berlaku sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana individu yang mahu bertanding sebarang pemilihan dalaman parti, haruslah mempunyai rekod keahlian lebih setahun.

Kesannya, terdapat ahli baharu parti yang datang daripada UMNO telah menganjak tarikh mula-mula menjadi ahli seterusnya bertanding dalam pemilihan, sehingga mengakibatkan ramai calon yang naif dan tidak arif soal percaturan dalaman akhirnya ‘tersungkur’.

Artikel Berkaitan: