UPKO sokong segerakan pembentangan RUU Anti Lompat Parti

Wilfred
Wilfred
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada Persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 28 Februari ini adalah tepat.

Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat, bertepatan dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos lalu.

“Keputusan ini selaras dengan pendirian yang diketengahkan oleh PH dalam pertemuan dengan beliau, di mana PH telah menegaskan bahawa RUU ini perlu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya selain itu, ia juga menepis spekulasi kononnya sesetengah pihak bahawa RUU ini tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana kerajaan pusat tidak serius dengan MoU yang dimeterai dengan PH.

“Apa yang penting RUU ini harus dan perlu dibawa ke sesi parlimen Februari hingga Mac ini.

Saya juga berharap kerajaan-kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang di peringkat negeri, termasuk perlembagaan negeri masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya lagi, RUU ini tidak wajar ditangguh dan dilewatkan kerana rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Artikel Berkaitan: